Golongan VIP Di Akhirat

Rasulullah s.a.w menjelaskan suatu keadaan yang amat menggerunkan pada hari Kiamat dalam sepotong hadis baginda yang bermaksud ;
“ Didekatkan matahari pada hari Kiamat kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (samada ukuran sekarang atau akhirat), maka ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada di kalangan mereka yang mengharungi peluhnya sekadar buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang dan ada yang sampai ke mulutnya (sambil baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya).” ( Muslim & Tarmizi )
Pada saat ini, manusia mencari-cari tempat berteduh untuk berlindung
daripada kepanasan tersebut. Segala harta kekayaan ketika di dunia
dahulu sudah tidak dapat berfungsi kecuali yang telah dibelanjakan
dengan cara yang diredhai oleh Allah.
Walaubagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud ;
Walaubagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa baginda bersabda yang bermaksud ;
“ Tujuh golongan yang Allah akan naungi mereka pada hari yang tiada teduhan melainkan teduhan yang diberikan oleh Allah”.
Mereka ialah :
1) PEMIMPIN YANG ADIL
Golongan ini diletakkan pada senarai yang pertama kerana ia bakal
melahirkan ramai lagi calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Di
dalam kitab Dalil al-Faalihin, diterangkan bahawa makna adil ialah
mematuhi segala perintah Allah dengan meletakkan sesuatu kena pada
tempatnya. Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah s.a.w
sebagai rujukan utama di dalam setiap keputusan dan tindakan yang
diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi
Perdana Menteri Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’
al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka di dalam
kepimpinannya.
2) REMAJA YANG MEMBESAR DALAM KETAATAN
Usia remaja amatlah mencabar. Pelbagai pengaruh menghantui para
remaja samada melalui rakan-rakan sebaya, media cetak, elektronik dan
lain-lain. Jiwa remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru
terutamanya yang kelihatan menyeronokkan seperti mempunyai pasangan
kekasih, merokok, merempit, berkaraoke dan pelbagai aktiviti yang ada
kalanya menyebabkan kesan yang sangat negatif kepada masa depan mereka
sendiri. Walaubagaimanapun di celah-celah keributan gejala sosial ini,
masih ada remaja yang menjaga agama mereka. Mereka berkawan, berseronok,
dan beraktiviti seperti biasa, namun batasan agama sentiasa dipatuhi.
Halal dan haram menjadi pertimbangan terpenting dalam kehidupan sehingga
ada kalanya dipandang asing oleh rakan sebaya. Mereka ini yakin dengan
janji Rasulullah s.a.w bahawa naugan Allah sedang menanti di akhirat
kelak sebagai ganjaran terhadap kekuatan ‘antibodi’ yang menepis segala
pujuk rayu maksiat pada usia remajanya.
3) PENCINTA MASJID
Sepanjang sejarah Islam, ada golongan manusia yang hatinya sentiasa
terikat dengan masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja yang dimiliki
demi menghidupkan fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan
yang berlaku di masjid pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau
tindakan untuk mengganggu institusi masjid bakal menyentap emosi mereka
secara spontan. Golongan ini mempunyai 5 sifat sebagaimana firman Allah
di dalam surah al-Taubah, ayat 16 iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah
dan hari Akhirat, serta sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat dan
tidak pernah gerun di dalam menjalankan tanggungjawab agama, melainkan
hanya kepada Allah.
4) DUA INSAN YANG BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
Berkasih sayang adalah soal hati. Ia merupakan suatu perasaan yang
tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan
pasti ada orang yang dikasihinya samada ahli keluarga, sahabat handai
ataupun tokoh yang dikagumi. Persoalannya, atas dasar apakah kasih
sayang itu dibina ? Sekiranya kerana wajah yang jelita, harta yang
melimpah atau kepentingan-kepentingan duniawi yang lain, maka masih
belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti. Perasaan
mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang sangat
bersungguh di dalam mentaati Allah dalam segenap urusan hidupnya.
Persahabatan terjalin sehingga menjadikan setiap pertemuan dan
perpisahan sesudah itu adalah untuk urusan agama.
5) DIGODA BERZINA
Golongan kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah seorang pemuda
yang digoda berzina oleh perempuan yang cantik lagi berpangkat, lalu ia
menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah !’. Nafsu dan
keinginan orang muda pastinya sentiasa hangat, tambahan pula digoda oleh
perempuan cantik lagi mengiurkan, di samping pangkat yang dimilikinya
boleh dimanfaatkan untuk mengelak sebarang hukuman atau tindakan
daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak muda
tersebut masih ada Allah di hatinya lalu dengan tegas membuktikan
kegerunannya terhadap murka Allah mengatasi gejolak nafsunya. Ia pasti
bersama panji Nabi Yusof a.s di akhirat kelak bersama para bidadari yang
disediakan oleh Allah.
6) MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH
Ada insan yang sentiasa berurusniaga dengan Allah. Pelaburannya
sentiasa dijuruskan untuk mendapat ‘profit’ akhirat yang kekal abadi
lalu sentiasa bermujahadah untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan
sehingga Rasulullah s.a.w mentamsilkan bersedekah tangan kanan, tangan
kiri tidak mengetahui apa yang diberikan. Tidak pernah terdetik di hati
untuk mendapat pujian daripada manusia sekeliling sehingga menyebabkan
nilai pahalanya begitu tinggi walaupun jumlah sedekahnya kecil pada
penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah dengan jumlah
yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pastinya melayakkan
mereka di akhirat nanti untuk bersama para hartawan dari kalangan para
sahabat Rasulullah s.a.w.
7) MENGINGATI ALLAH SEHINGGA MENITISKAN AIR MATA
Golongan terakhir ialah insan-insan yang begitu tekun bermuhasabah
tentang diri mereka sehingga menitiskan air mata di kala berseorangan.
Mereka memikirkan dosa-dosa lampau dan juga betapa banyaknya perintah
Allah yang belum tertunai. Si ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang
tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat, si peniaga yang
teringatkan tipu helahnya dalam melariskan jualan, si anak mengimbau
dosa-dosa terhadap kedua ibu bapanya dan pelbagai situasi lagi yang
akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir di pipi,
semata-mata kerana Allah.
Sumber: http://ustazsyed.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment