Saturday, November 21, 2009

BAB3: HARI INI MILIK ANDA

Apabila anda berada di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.


Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkanlah hari itu sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.


Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan anda, sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan, masa lalu dengan berbagai kesedihan dan kegundahan yang terjadi masa itu, dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan acapkali menakutkan.


Pusatkanlah seluruh perhatian dan kreativiti anda untuk satu hari ini saja. Dan pada hari inilah, anda harus bertekad mempersembahkan kualiti solat yang paling khusyu' membaca dan memahami Al-Qur'an secara mendalam, merenungi kehidupan dunia dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlaq, kerelaan dengan semua yang Allah berikan, perhatian terhadap keadaan sekitar, perhatian terhadap kesihatan jiwa dan raga serta memberi manfaat kepada orang lain.


Untuk hari ini, anda harus mula membahagi waktu dengan bijak. Jadikanlah setiap minit seakan ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari ini; memelihara indahnya kehidupan, meminta ampunan dari berbagai dosa yang telah dilakukan, mengingat Tuhan, dan mempersiapkan diri untuk pergi jauh (mengharapNya). Dengan demikian, hidup anda pada hari ini akan penuh kebahagiaan, merasa aman dan tenteram, serta menerima rezeki, isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, tempat tinggal dan ilmu pengetahuan dengan tangan terbuka dan rasa syukur.



  • Firman Allah:...Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur...(Al-A'raf: 144)

Hidup anda pada hari ini juga tanpa kesedihan, gangguan, kemarahan, kedengkian dan kebencian atau sakit hati.


Jangan lupa, hendaklah anda mengukir sebuah tulisan dalam hati anda atau di meja tempat anda bekerja: "Hari ini adalah milikmu. " Yakni; apabila hari ini anda dapat memakan nasi yang harum baunya, maka apakah anda masih berfikir tentang nasi basi yang telah anda makan kelmarin, yang akan membahayakan kesihatan anda? Mungkin anda masih berfikir tentang nasi yang anda makan esok hari, padahal masih ada dalam angan-angan.

Apabila pada hari ini anda dapat minum air dingin yang menyegarkan, maka mengapa anda harus bersedih atas air masin yang anda minum kelmarin, atau menginginkan air esok yang masin dan panas?

Seandainya anda percaya akan diri sendiri dan mampu mengerjakan segala sesuatu dengan semangat dan tekad yang kuat anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip; "masa hidupku hanyalah pada hari ini." Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan, sekaligus berusaha meningkatkan mutu kerja dan membersihkan amal perbuatan anda.

Dan itu akan membuatkan anda berkata dalam hati: "Hanya hari ini aku berkesempatan untuk mengatakan yang baik-baik saja; tidak bercakap kotor dan yang menjijikkan, tidak akan pernah mencela, mengherdik dan juga membicarakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berkesempatan mengemas rumah dan pejabat agar tidak berserabut dan berselerak. Dan kerana hanya ini saja aku akan hidup, maka aku akan memperhatikan kebersihan tubuhku, kerapian penampilanku, kebaikan tutur kata dan tindak-tandukku."

Kerana akan hanya hidup pada hari ini, maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Tuhanku, mengerjakan solat sesempurna mungkin, membekali diri dengan solat-solat sunat nafilah berpegang teguh pada Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang bermanfaat yang ada di dalamnya.

Aku hanya akan hidup pada hari ini, kerana itu akau akan menanam dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan yang kutanam sampai ke akar-akarnya, dan mematahkan ranting-rantingnya yang berduri; seperti sifat takabur, ujub, riya' dan buruk sangka.

Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan, maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapapun. Aku akan menjenguk mereka yang sakit, menghantarkan jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang sesat, memberi makan orang kelaparan, menolong orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, meghormati orang-orang alim, menyayangi anak kecil dan berbakti kepada orang tua.

Aku akan hanya hidup hari ini, maku aku akan mengucapkan: "Wahai masa lalu yang telah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi kepergianmu, dan kamu tidak akan pernah melihatku termenung sedetik pun untuk mengingatimu. Kamu telah meninggalkan kami semua, pergi dan tak akan kembali lagi."

"Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban! Maka aku tidak akan pernah bermain dengan khayalan dan menjual diri hanya untuk sebuah dugaan. Aku pun tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, kerana esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan."

"Hari ini milik anda", adalah ungkapan yang paling indah dalam "kamus kebahagiaan", kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah dan menyenagkan.

Jee.R.D/Syukbah Agama/Kitab: La Tahzan / Jangan Bersedih.

BAB2:YANG LALU, BIARLAH BERLALU

Mengingati masa lalu yang suram lalu menghadirkan semula dalam kehidupan kita sekarang, kemudian bersedih atas kedukaan dan kegagalan itu adalah suatu tindakan yang bodoh dan gila. Itu, sama ertinya dengan membunuh semangat, membunuh harapan dan menghalangi orang untuk menjalani kehidupan yang seadanya.


Bagi orang yang berfikir, peristiwa masa lalu akan dilipat dan tidak akan dilihat kembali. Kita harus mengurung dan melupakanya di dalam penjara, mengikatnya dengan tali yang sangat kuat agar tidak dapat keluar dan melihat cahaya. Kerana bagaimanapun, berbagai peristiwa tersebut hanya sebahagian dari masa lalu dan sekarang semuanya telah berakhir.


Dengan demikian tidak akan ada lagi kesedihan, kedukaan dan kegagalan lain. Semuanya tidak akan dapat berulang dan hidup kembali, kerana ianya memang sudah tiada.


Janganlah anda hidup di dalam mimpi-mimpi buruk di masa lalu, atau di bawah bayang-bayang kesedihan masa lalu. Angkatlah diri anda dari fantasi tersebut! Apakah anda menginginkan berbagai musibah dan pengorbanan tersebut berulang? Apakah anda mengharapkan matahari kembali ke tempat asalnya, bayi ke perut ibunya, air susu kembali ke payudara si ibu, dan air mata ke dalam kelopak mata, padahal semuanya akan mengalirkan kembali air mata anda?


Dengan kembali ke masa lalu, bererti anda akan merasakan kembali keresahan. Masa lalu tak ubahnya api yang akan terus membakar dan melemparkan diri ke masa lalu dan hal tersebut merupakan keadaan yang sangat menyedihkan, sekaligus menakutkan.


Membuka kembali lembaran masa lalu hanya akan merosakkan suasana yang ada dan menyia-nyiakan perjuangan yang selama ini sudah dilakukan. Allah s.w.t telah mengingatkan kita dengan umat pada masa lalu serta apa yang telah mereka perbuat:




  • Firman Allah:...itulah umat yang lalu...(Al-Baqarah: 134)

Semuanya telah berlalu dan tidak akan berulang kembali. Dan tidak ada manfaatnya memutar roda sejarah sekadar untuk melukiskan bencana pada zaman itu.


Orang yang berusaha kembali ke masa lalu, adalah tidak ubahnya seperti orang yang yang mengiling tepung, padahal dirinya sendiri tergiling didalamnya. Ada ungkapan nenek-moyang kita dahulu yang patut direnungkan oleh orang yang menangisi masa lalu. " Janganlah kalian mengeluarkan mayat-mayat itu dari kuburnya."


Dalam sebuah riwayat diceritakan, bahawa terdapat segolongan orang yang mengerti bahasa binatang. Orang-orang tersebut bertanya kepada keldai: " Mengapa engkau tidak mahu merenungi apa yang telah berlalu? " Keldai itu menjawab: " Kerana aku tidak suka kebohongan. "


Bencana dapat menimpa bila kita lemah menghadapi masa kini dan asyik menyibukkan diri dengan masa lalu. Kita telah menyia-nyiakan keindahan istana yang kita miliki dan mempertaruhkan semuanya demi sebuah penampilan masa lalu yang telah usang. Padahal, seandainya seluruh manusia dan jin bersatu untuk mengembalikan semua hal yang telah berlalu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya, kerana pada dasarnya semuanya itu mustahil.


Manusia sebenarnya tidak perlu melihat masa lalu dan memalingkan wajahnya ke belakang, kerana angin akan terus berhembus ke depan; air akan mengalir ke depan; setiap kafilah akan berjalan ke depan. Oleh kerana itu, janganlah menyalahi sunnah kehidupan.



Syukbah Agama: jee.r.d ( La Tahzan /Jangan Bersedih/Don't Be Sad: ms-6 )

BAB1: MERENUNGLAH DAN BERSYUKURLAH

Anda seharusnya selalu mengingat nikmat yang Allah kurniakan. Kerana nikmatnya telah meliputi dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki, kesihatan badan, keamanan negara, hutan belantara, udara dan air, serta masih banyak lagi lainnya adalah nikmat yang telah diberikan Allah kepada anda.

  • Firman Allah:..sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya...(Ibrahim:34)

Demikian besar nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada anda. Dunia ini, beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk anda, tetapi anda tidak pernah menyedarinya; anda menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

  • Firman Allah:...Dia telah memberikan Nimat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin...(Luqman: 20)
Anda telah diberi sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki
  • Firman Allah:...Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?...(Ar-Rahman: 13)

Apakah anda mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih banyak manusia lain yang tidak mempunyai kaki?

Apakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya?

Apakah anda merasai nikmatnya tidur dengan memenjamkan kedua mata, sementara masih banyak manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang mengganggunya?

Pernahkah anda merasa nista ketika anda dapat menyantap makanan yang lazat dan minuman yang dingin, sementara masih banyak orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai?

Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah menjauhkan anda dari ketulian; penglihatan anda terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit anda yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis.

Perhatikan juga fungsi otak anda! Allah telah memberikan kesihatan aqal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan.

Apakah anda ingin menggantikan mata anda dengan emas sebesar gunung Uhud?

Inginkah anda menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit?

Apakah anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah anda, namun anda menjadi bisu?

Apakah anda mahu menukar kedua tangan anda dengan butiran-butiran pertama dan berlian, tetapi tangan anda kudung!

Anda sebenarnya telah meraup kenikmatan yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan, tetapi sayangnya anda tidak menyedarinya. Bahkan, anda hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan, padahal anda masih memiliki roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk, dapat tidur dengan nenyak, dan kesihatan anda yang stabil.

" Anda acapkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga anda lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan anda. Anda merasa sedih kerana kekurangan material, padahal anda masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki setumpuk kebaikan, kenikmatan, dan masih banyak yang lainnya. Oleh kerana itu, renungkanlah dan bersyukurlah! "

  • Firman Allah:...Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikannya? (Adz-Dzariyat: 21)

Lihatlah diri anda, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, sahabat dan dunia sekeliling anda. Dan janganlah termasuk di dalam golongan:

  • Firman Allah:...Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya...(An-Nahl: 83)
Syukbah Agamah: jee.r.d. (La Tahzan! ms-4) Nov.22.2009