Wednesday, August 8, 2012

Adab Buang Air

Dari Salman RA katanya dia ditanya oleh seseorang: 
 
"Bukankah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kamu segala-galanya hingga masalah buang air juga?" Jawabnya: Benar! Beliau melarang kita mengadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. Beliau juga melarang beristinjak dengan tangan kanan, beristinjak kurang dari tiga biji batu dan istinjak dengan kotoran ternak yang telah keras atau dengan tulang.
 
Huraian Hadith: 
 
1. Buang air adalah suatu kebiasaan yang diselalu dilakukan setiap hari. Disebabkan oleh kebiasaan itulah seringkali kita kurang memperhatikan adab-adab dalam melakukannya. 
 
2. Dalam Islam terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan: 
 
a. Tidak membawa barang yang tertulis nama Allah, kitab al-Qur'an atau sebahagian dari ayat-ayatnya.. 
 
b. Membaca doa sewaktu hendak memasuki tandas dan apabila keluar dari tandas. 
 
c. Mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar. 
 
d. Tidak mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya sebagai menghormati Kaabah.. 
 
e. Mengelak membuang air di dalam lubang yang terdapat haiwan di dalamnya. 
 
f. Mengelak dari tempat orang berteduh/bernaung, di jalanan atau tempat laluan manusia
 
g. Tidak buang air kecil atau besar di dalam air yang tergenang atau air mengalir yang biasa digunakan manusia untuk bersuci. 
 
h. Tidak mencuci kotoran dengan tangan kanan yang menyentuh kotoran untuk menjaga kebersihan
 
i. Dilarang bercakap ketika qada' hajat, tidak boleh memberi salam, menjawab salam dan berzikir secara lisan
 
3. Istinjak bermaksud bersuci sesudah buang air besar mahupun air kecil iaitu membersihkan air kecil mahupun besar dari badan dengan air dan jika tidak ada air bolehlah beristinjak  dengan batu atau benda-benda lain yang meresap.   
 
SUMBER: JAKIM.
DISCLAIMER: PENYEDIA BLOG tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada website ini. 

Saturday, August 4, 2012

Pesanan Imam Al-Ghazali



Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya:

1 – Pertama, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”.


Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.
Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran 185)
2 – Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. ” Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu
Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

3 – Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. “Apa yang paling besar di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali.  Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”
Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al A’araaf 179)
Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .

4 – Pertanyaan keempat adalah, ” Apa yang paling berat di dunia ini?”
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah”
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” ( Surah Al Ahzaab 72 )
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak bisa memegang amanahnya.

5 – Pertanyaan yang kelima adalah, ” Apa yang paling ringan di dunia ini?”.

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

6 – Lantas pertanyaan ke enam adalah, ” Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang… Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Petua Imam Ghazali Mencari Lailatul Qadar


Tanda Tanda Malam Lailatul Qadar


Pesan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W adalah malam qadar berlaku pada satu malam daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan ramadhan.
Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama untuk cari mencari malam Lailatul Qadar


Jika awal ramadhan jatuh pada hari:
I) Ahad atau rabu malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 ramadhan
II) Isnin – malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 ramadhan;
III) Selasa atau jumaat – malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 ramadhan;
IV) Khamis- malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 ramadhan;
V) Sabtu- malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 ramadhan
Kata sheikh abu hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas. Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.
Tanda malam qadar ialah :
  1. Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
  2. Siangnya cahaya matahari warnanya pucat;
  3. Pada malam itu malaikat jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
Marilah kita beramai-ramai memeriahkan suasana 10 malam terakhir ramadhan dengan beribadat kepada allah swt dengan ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita dapat kurniaan allah yang kelebihannya pahalanya melebihi – 1000 bulan atau 83 tahun umur kita.

Sumber: http://syedsallehalattas.blogspot.com/

Wednesday, August 1, 2012

Ni gambar sungai bukan syurga ok.. 


Lagi Kesilapan Umat Islam Dalam
Bulan Ramadhan & Luar Ramadhan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman



Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita berpuasa dan menjalankan pelbagai ibadah di bulan penuh keberkatan dan keampunan ini. Moga kita sama-sama dapat mempergandakan usaha bagi membersihkan hati dan jiwa yang kerap tercemar dengan pelbagai dosa setiap hari.
 
Jika sebelum ini saya telah mendedahkan beberapa kesilapan kerap umat Islam pada bulan Ramadhan agar ianya dapat dijauhi sebaiknya, kali ini saya berhasrat untuk membuat beberapa penambahan lagi sebagai panduan bagi rakan-rakan umat Islam yang dikasihi sekalian.   

Tanpa mengetahui yang salah, umat Islam mudah terjebak melakukan dosa-dosa ini, dan sebahagiannya bukan suatu dosa kecil yang boleh dipandang ringan. Malah jika ia dosa kecil sekalipun, sesungguhnya sebuah gunung terbina dari tanah dan batu yang kecil. Justeru, dengan mengenalinya serta melakukan koreksi segera, InshaAllah, kebaikan adalah untuk kita juga. 

Berikut adalah beberapa lagi perkara yang amat perlu dielak di khususnya di bulan Ramadhan ini, malah ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan (namun pastinya ia hanyalah sebahagian kecil dari senarai panjang larangan dan perkara yang perlu dielak):-
 
1)      Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;
Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.  
Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.  

Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.  
Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-

‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة
Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)  

Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan besar dosa, bagi seseorang melintas di hadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" (Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )  

Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Menjadi kemestian ke atas ibubapa untuk menjaga anak mereka sedaya mampu, agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.  

2)      Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.
Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.
Nabi s.a.w menyebut :-


‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان
Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )  

Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.  

Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.
Nabi bersabda :-
المصلي يناجي ربه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551  )            

Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu di hadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.  

3)      Meludah di masjid 
Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.  
Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-
‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها
Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud ) 
  
4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.  
Ini adalah satu lagi kesalahan yang berlaku secara kerap di masjid tatkala bulan Ramadhan. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di ubah nada deringannya kepada ‘silent mode'.  
Menurut pengamatan saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).    
Ini kerana :-  

a- Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-  
إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها
Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3  atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban ) 

فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim) 

Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-
فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 ) 

Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.
                                                                
b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain
Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar. 

Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :- 
‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 ) 

Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya. 

Pergerakan   
Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan
أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية
Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )
 
Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.

5)      Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.
Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.
Sebagaimana ingatan Nabi :-
‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

6)      Tidur semula selepas sahur
Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.
Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.
Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.
Allah berfirman :-
الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ
Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur"  ( Al-Imran : 17 )

7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.

Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.

Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur.  Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.

Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain.

Nabi s.a.w bersabda :-

اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا
Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)

Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )

8)      Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah
Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.

Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.
   
9)      Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.
Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.

Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah.  Disebutkan dalam sebuah hadis :-
‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط
Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 ) 

Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.

10)  Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya
Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.

Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.

Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?.  Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.

Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w mengingatkan :-
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ
 دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ
Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )

11) Berterusannya tenggelam dalam syahwat
Bagi sebahagian remaja dan anak muda, mereka meneruskan aktiviti biasa mereka dengan bergayut di telefon bersama pasangan, atau lebih buruk, aktif ‘berdating' di musim Ramadhan ini dan pelbagai aktiviti bersyahwat dan nafsu mereka. Ibu bapa pula seolah sudah habis usaha, buntu aqal untuk mencari jalan terbaik mengelakkan aktiviti buruk si anak dari berterusan. Jika ini berlaku, dosa lebih banyak yang bertambah sejurus keluar dari bulan mulia ini. Selain itu, mereka yang menamatkan Ramadhan dengan dosa yang lebih banyak, pastinya akan semakin menjauh dari Allah swt. Manakan tidak, di bulan bergandanya pahala dan ditutup pintu neraka pun masih ditewaskan oleh nafsu, apatah lagi di ketika Syaitan bebas dari belenggunya. Moga kita dijauhkan Allah.

12) Tidak merapatkan saf semasa solat berjemaah
Jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunnah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah. Ini kerana ketika solat berjemaah, saf perlu dirapatkan bersumberkan hadis-hadis yang banyak antaranya :
أقِيمُوا صُفُوفَكمُ وَتَراصَوْا فإني أرَاكم مِنْ وَرَاء  ظهْري   
Ertinya : "Luruskanlah saf kamu (ketika solat) sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku"( al-Bukhari ) 
لتسوُنَّ صُفُوفَكُم أوْ لَيُخَالِفَنَّ الله بين وُجُوهِكم
Ertinya : "Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau Allah akan mengalihkan wajah-wajah kamu"  (Abu Daud) 
Erti bagi pengalihan wajah ini ditafsirkan oleh para ulama sebagai :
a-    Benar-benar wajah akan dialihkan oleh Allah swt kelak.
b-    Perpecahan hati dan hilang kesatuan, pergaduhan juga akan semakin subur. Demikian huraian Imam An-Nawawi.
Hadis di  atas amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Ia menunjukkan besarnya kesalahan tidak melurus dan merapatkan saf, berdasarkan hadis tersebut, para ulama menyatakan hokum wajib bagi merapatkan saf ketika solat jemaah. 

Tanpa displin tersebut akibatnya adalah manusia akan berada dalam rasa keegoan masing-masing hingga merasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka, di samping itu ia juga meunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah swt akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini.

Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki, justeru dalam keadaan tersebut, perlu di ingat kadar yang telah diletakkan oleh para ulama di atas. 

Bagi memperolehi kualiti yang terbaik dan pahala terbanyak maka pandangan yang disarankan menurut penulis dalam hal jarak antara dua kaki ini adalah seperti berikut :-

Ketika solat berjemaah, jarak yang terbaik adalah, sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah lain disebelah kita. Ia sekaligus mempertautkan ukhuwwah serta mampu membuang rasa keegoan diri. Terdapat banyak hadith yang menyokong kesimpulan ini, antaranya hadith shohih riwayat al-Bukhari menyebut :
وكَانَ أحَدُنَا يُلزِقُ مَنْكِبَهُ بمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمُه بقدمِه
Ertinya : "Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki" ( Riwayat al-Bukhari) 

Friday, July 27, 2012

Menutup Telefon Bimbit Ketika Solat



Pergerakan dibenarkan kerana maslahah jaga khusyuk

SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila perhatian terganggu, ia mampu mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam amat menitik beratkan persoalan persediaan sebelum solat termasuk menetapkan hati yang tenang serta memakai pakaian bersih.Persediaan juga mengambil kira mengelak daripada perkara yang boleh mengganggu solat seperti kerap berlaku sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit. Perkara ini penting kerana bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu solat kita serta jemaah lain.Deringan bunyi telefon terkadang menghasilkan lagu dan bunyi yang jelas mampu menghalang jemaah terus khusyuk ketika solat sedangkan khusyuk satu tuntutan penting dalam solat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menghalang sahabat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat.
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga dilarang diperdengarkan kerana boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon. Sudah tentu dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin menunaikan solat menutup telefon bimbit sebelum melakukan solat sama ada bersendirian atau berjemaah.
Namun persoalan berbangkit, bagaimana jika kita terlupa menutupnya sebelum bersolat dan telefon berdering. Adakah kita perlu menghentikan solat, menggerakkan anggota tubuh untuk mematikan telefon bimbit atau membiarkan saja telefon terus berdering.

Jawapan paling tepat di sini ialah mematikan telefon tanpa membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang solat dibenarkan bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon itu. Pergerakan ini dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga khusyuk solat lebih besar daripada terus membiarkan telefon berbunyi sepanjang kita bersolat.

Persoalan ini termasuk dalam perbahasan hukum pergerakan dalam solat. Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan solat jika dilakukan dengan banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam kuantiti sedikit membabitkan anggota kecil, maka dibolehkan.

Cuma di sini, ulama berselisih pandangan mengenai ukuran banyak atau sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika dilakukan melebihi tiga kali dan secara berturutan maka ia membatalkan solat.

Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut mendatangkan contoh pergerakan yang sedikit seperti memberi isyarat ketika menjawab salam, melepaskan serban atau meletakkannya, menggosok lendir yang terlekat di baju dan lain-lain lagi.

Banyak juga keterangan hadis menceritakan pergerakan Nabi SAW dan sahabat ketika sedang solat kerana maslahah tertentu. Contohnya, pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu Abbas untuk memindahkannya daripada sebelah kiri ke sebelah kanan Baginda.

Pergerakan yang banyak ini sudah dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa inilah maslahah digunakan Nabi SAW dalam memelihara solatnya daripada terganggu.

Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri pernah solat dalam masjid sambil mendukung cucunya Umamah. Apabila rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya di bawah dan apabila bangun, Baginda akan mendukung cucunya kembali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian cendekiawan Islam menolak dalil pergerakan Nabi SAW sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan telefon bimbit ketika solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi SAW. Bahkan ada sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu boleh jadi tidak dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.

Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh disebabkan ada juga sahabat melakukan pergerakan yang banyak apabila terdapat maslahah mendesak. Di samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak bergerak melebihi tiga kali berturut.

Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah Imam Syafie yang memang terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan menjaga kesempurnaan solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin mengambil pendekatan Imam Syafie.

Bagaimanapun, dalam kes mematikan telefon, ini keperluan mendesak. Ia boleh dikategorikan sebagai pergerakan yang wajib dilakukan ketika solat kerana larangan mengganggu jemaah lain yang sedang solat adalah wajib.

Oleh itu, perbuatan mematikan telefon dimasukkan dalam perbahasan yang sama seperti keharusan bergerak untuk membunuh binatang buas yang mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi SAW yang mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil ketika solat.
Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Justeru, dapat difahami bahawa wajib bagi seseorang untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya kerana ia merosakkan ketenangan orang yang sedang solat, seperti mana bahayanya kala jengking dan ular.

Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.

Sumber: http://www.imamudasyraf.com/

Kesalahan Membaca Al-Fatihah


PENTINGNYA BACAAN YANG BETUL DALAM AL-FATIHAH
Membaca al-fatihah adalah satu rukun dalam solat,apabila cacat bacaanya maka rosaklah solat.oleh itu perbaikilah bacaanya dengan ilmu tajwid,bukan setakat bacaanya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat kita.

Berikut diperuntukan nama syaitan laknat yang wujid di dalam al-fatihah,sekiranya kita tidak berhati-hati.


NAMA SYAITAN
1.DU LI LAH ( bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya DULILLAH

2.HIR ROB (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya HI ROB

3.KIYYAU (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya KI YAU

4.KANNAK (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya KA NAK

5.KANNAS (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya KA NAS

6.IYA ( dibaca tanpa sabdu ) sepatutnya IYYA..IYA bermaksud matahari

Dalam ayat ke-5 ,jika salah bacaanya akan bermaksud kepada matahari kami sembah dan kepada mataharilah kami meminta pertolongan”!!!!!!!!

7.SIROTOL LAZI…sehingga habis hendaklah di baca tanpa henti

8.AMIN…hendaklah mengaminkan al-fatihah dengan betul iaitu AA..dua harakat,semoga AMIN kita bersamaan dengan AMIN MALAIKAT insyaALLAH.semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaanya

Kesalahan-kesalahan lain dalam surah al-Fatihah:
a) Alehamdulillah (seolah-olah bunyi ‘le’)…sepatutnya dibaca, Alhamdulillah.
b) malikiyau-middin…sepatutnya dibaca, maalikyau-middin ( ‘maa’ = dua harakat)
c) siro-thol-lazi na a’n a’m…sepatutnya dibaca, siro-thol-lazi-na an a’m…( perhati dlm Quran, yang pertama adalah huruf alif(ا) , yang kedua baru huruf ain (ع)..bunyi alif berbeza dengan bunyi ain..)

Jadi marilah kita sama-sama belajar membaca Surah Al-Fatihah dengan betul kerana surah ini adalah salah satu rukun 13 dalam solat. Solat kita tidak akan sah dengan bacaan yang salah dan lebih buruk lagi apabila maksudnya menjadi lain jika salah bacaannya.

Hiburan Yang Di Anjurkan Islam



Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :
“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. - (Surah Al-ra‘ad: 28)
Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.


Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat” (Surah Al-Baqarah: 138)
Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tafsirnya :
“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”. (Surah Yunus: 6)
Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”. (Hadis riwayat Muslim)
Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”. (Surah Al-Zumar: 23)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”. (Surah Al-Anfaal: 2)
Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :
“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”. (Surah Al-Hajj: 35)
Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :
“Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”. (Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)