Tuesday, July 28, 2009

"Memelihara Kehormatan Diri"......suatu tuntutan

“ Maruah ialah kehormatan dan harga diri yang lahir dari budi pekerti dan tingkah laku mulia yang merangkumi cara berpakaian, pertuturan dan pergaulan,” lantang suara saya menerobos masuk ke telinga pelajar-pelajar tingkatan dua di hadapan.

“ Menjaga dan memelihara maruah diri sangat penting terutama kepada kaum perempuan, khususnya wanita Islam. Dan itu merupakan kewajipan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah tanpa mengira siapa mereka,” saya menambah buah kata. Kelihatan beberapa orang pelajar yang mendengar mengangguk-anggukkan kepala, sementara yang lain masih senyap dan menelinga untuk mendengar penerangan selanjutnya.

Saya memandang wajah-wajah di depan saya, seorang demi seorang. Ada yang melontar senyum saat bertentang pandang, tidak kurang juga yang melarikan anak mata, menundukkan kepala sambil menguis-nguis helaian buku teks.

“ Semua itu bermula dari rasa malu. Bahkan, mulia atau hinanya akhlak seseorang itu dapat diukur dari rasa malu yang dimilikinya. Justeru itu, malu dan iman berkait rapat, umpama kembar siam yang tidak boleh dipisahkan. Orang yang beriman adalah orang yang menjadikan malu sebagai pakaian,” ulas saya lagi sambil mata terus melirik mesra setiap wajah yang dari tadi hanya diam tanpa kata. Bagaikan terkunci mulut mereka untuk mencelah sepatah dua.

DIDIKAN SIFAT MALU
Allah SWT menciptakan setiap manusia dengan fitrah yang suci bersih dari sebarang noda. Malu merupakan salah satu fitrah yang telah sedia ada, tinggal lagi ia perlu disuburkan terutama ketika usia masih kecil. Justeru, mendidik anak-anak dengan sifat malu merupakan tugas yang wajib dilaksanakan oleh ibu bapa Muslim.

Malu yang dibentuk perlu dibezakan dari sifat ‘pemalu’, iaitu sikap rendah diri atau tiada keyakinan diri, dan ini berlawanan dengan sifat malu yang dikehendaki oleh syara’. Sebaliknya, malu yang perlu dipupuk ialah malu untuk melakukan sesuatu yang bersifat membuka keaiban ( keburukan ) diri dan orang lain. Sebagai contoh, malu untuk mendedah aurat sendiri atau memandang aurat orang lain, malu untuk melakukan apa-apa perbuatan yang tidak sopan, malu untuk berkata-kata yang tidak senonoh, lucah, mencarut dan lain-lain lagi. Seterusnya, anak-anak juga mesti dididik agar malu kepada diri sendiri terutama ketika bersendirian di dalam bilik tidur dan bilik air.
Bahkan, Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang yang pemalu dan Baginda menjadikan sifat malu ini sebagai sebahagian dari cabang-cabang iman. Abu Hurairah r.a. berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Iman itu memiliki 70 atau 60 cabang. Paling utama adalah ucapan ‘Laa ilaaha illallah’, dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan di jalan. Dan sifat malu adalah cabang dari keimanan.” ( Hadis riwayat Muslim )


KEUTAMAAN SIFAT MALU
“ Ustazah, apa akan jadi bila seseorang itu tiada rasa malu ? ” tiba-tiba Farah bertanya, memecah buntu dan senyap rakan-rakan yang seakan terkejut mendengar kelantangan suaranya.

“ Alhamdulillah, ada juga yang bertanya. Saya ingatkan semua dah jadi pemalu tadi,“ seloroh saya mengundang ketawa kecil anak-anak muda di depan saya.

Saya tersenyum lega. Ada dua kebimbangan saya sebenarnya, jika penjelasan tidak bersulam tanya. Bimbang pertama, pelajar tidak faham apa yang diajar tetapi segan untuk melontar soalan. Bimbang kedua, para pelajar menyangka mereka telah faham berdasar apa yang mereka fikir dan rumuskan sendiri, sedangkan kefahaman mereka itu tersasar dari kehendak sebenar yang mahu saya sampaikan.

“ Malu merupakan penghalang manusia dari melakukan maksiat dan dosa, contohnya : malu membuka atau mendedahkan aurat, malu untuk ketawa tanpa adab, bercakap kotor dan memaki, malu untuk meninggalkan solat dan banyak lagi,” jelas saya pendek. Kelihatan dua, tiga orang pelajar yang duduk di bahagian belakang saling berbisik. Mungkin kata-kata saya tadi sedikit sebanyak mengenai ‘batang hidung’ mereka.

“ Sebaliknya, banyak perkara buruk boleh berlaku jika malu telah tiada dalam diri. Manusia yang hilang rasa malu akan berbuat semahunya tanpa mempedulikan ajaran agama, juga adanya peraturan dan undang-undang tentang kesopanan dalam masyarakat. Lantaran itu, mereka akan bertindak kurang ajar, mengikut hawa nafsu, menjadi liar dan melanggar peraturan sedia ada. Tidak hairanlah jika kita mendengar hari ini terlalu banyak masalah sosial yang mengancam masyarakat, khususnya remaja seperti gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, seks bebas, melahirkan anak luar nikah, menagih dadah dan pelbagai lagi,” panjang lebar saya menjelaskan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah lebih dahulu mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud :

“ Bila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, lakukanlah apa saja yang kamu inginkan,” ( Hadis Riwayat Bukhari )

ADAB BERPAKAIAN DI DALAM RUMAH
“ Justeru itu. Mulakan dengan dengan rasa malu dalam berpakaian. Jauhkan dari pakaian yang menjolok mata walaupun ketika berada di dalam rumah bersama keluarga,” tambah saya seterusnya.

“ Ustazah, dalam rumah sendiri takkan tak boleh pakai seksi,” getus satu suara di sisi kanan saya. Tersengih-sengih para pelajar lain mendengarnya.

Saya tersenyum. Sememangnya, tujuan saya adalah untuk menyuntik kesedaran kepada pelajar agar memelihara kesopanan terutama pakaian mereka; baik di sekolah apatah lagi ketika di rumah. Sudah terlalu banyak kes sumbang mahram yang berleluasa dalam masyarakat dek hilangnya perhatian dan pemantauan ibu bapa terhadap soal berpakaian anak-anak terutama anak remaja. Persoalan yang nampak remeh, tapi impak dari itu cukup perit dan pedih.

“ Walaupun di rumah, tidak bermakna kamu boleh berpakaian menjolok mata. Hanya berseluar pendek dan t-shirt sendat, kemudian duduk pula di sofa atau terbaring di depan tivi ketika menonton bersama ayah atau abang,” luah saya tegas. Merah padam muka para pelajar yang mendengar. Ramai yang tadinya mendongak memandang saya, mulai menekur kepala. ‘Malu barangkali,’ tebak saya di dalam hati.

“ Kerana itu, sebagai orang tua, ibu dan bapa harus menunjukkan contoh awal kepada anak-anak. Atas dasar ingin mendidik, ibu bapa juga perlu berpakaian sopan walaupun di dalam rumah. Tidak ketat, jarang, pendek dan membuka bahagian-bahagian yang merangsang mata dan nafsu gelora,” ujar saya lagi agar mereka memahami.

“ Jika ibu bapa sendiri tidak malu berpakaian seksi di depan anak-anak, tentulah sukar membentuk sifat malu dalam diri mereka. Akhirnya, akibat tiada contoh dan panduan yang baik dari ibu bapa, anak-anak terus leka dan hanyut dengan kemahuan nafsu semata-mata. Sebaliknya, jika dari rumah anak-anak telah dididik dengan sifat malu dalam berpakaian ini, maka sudah tentu di luar rumah anak-anak akan lebih rasa malu untuk membuka aurat kepada yang bukan mahram mereka,” saya menutup bicara.

BOLEH, DI PLANET PLUTO
“ Jadi, memang tak boleh lansung la pakai seksi ye ustazah ?” tulus pertanyaan pelajar yang duduk di belakang.

“ Boleh..siapa kata tak boleh ?” jawab saya sambil tersenyum. Kelihatan bulat anak mata mereka memandang saya. Tidak kurang juga yang mengerutkan dahi, pening kepala agaknya.

“ Boleh..ada dua tempat. Hanya di depan suami bagi yang telah berkahwin dan bagi yang belum,.. ” jawab saya, lantas diam sejenak.

“Di mana ustazah” soal mereka beramai-ramai. Bising mereka kerana membiarkan ayat tergantung.

“Di Planet Pluto,” saya berjenaka. Ada makna.

“ Ustazah…..” panjang meleret suara anak murid di depan saya. Senyum saya makin melebar.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Sumber : http://www.ummuhusna99.blogspot.com/

Friday, July 17, 2009

Jiran

Daripada Aishah r.ah daripada nabi S.A.W bersabda :
Jibril sentiasa berwasiat ( berpesan ) kepadaku
supaya berbuat baik kepada jiran tetangga sehingga
aku menyangka jiran akan mewarisi jirannya.

( riwayat al Bukhari 1991 Kitab al adab bab al wasat bi al-jar)

Syarah Ringkas

Secara umumnya hadis ini menjelaskan tentang tuntutan kewajipan menghormati dan memuliakan jiran dengan berbuat baik serta menunaikan hak-hak yang sepatutnya diperolehi oleh jiran. Tuntutan ini disampaikan oleh Jibril kepada Rasulullah S.A.W berulang kali sehingga baginda menyangka jiran menjadi waris jirannya. Kekerapan Jibril A. S datang kepada Rasulullah S.A.W membawa pesanan tersebut menunjukan bahawa tuntutan merupakan sesuatu yang amat besar dan penting untuk dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W seterusnya untuk dijadikan panduan oleh umatnya.

Sangkaan Rasulullah S.A.W ini bukan menunjukkan Baginda tidak memahami hukum perwarisan kerana jelas hukumnya, tetapi untuk menunjukkan betapa penjagaan hak jiran amat dititik beratkan oleh Islam agar mengambil peringatan yang sewajarnya dalam hal menjaga hubungan baik dan menghormati jiran.

Sumber : Prof. Madya Dr. Jawiah Dakir

Saturday, July 4, 2009

Doa dan Zikir

Doa menghilangkan kesedihan

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أ َمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ
قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّي
Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu, anak hamba perempuan-Mu,ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, qadha-Mu kepadaku adalah adil, aku mohon pada-Mu dengan setiap nama baik yang engkau gunakan untuk diri-Mu, yang engkau namakan diri-Mu sendiri, atau yang engkau turunkan di dalam kitab engkau. atau engkau ajarkan kepada seseorang daripada hamba-Mu, atau engkau sembunyikan di dalam ilmu ghaib disisi engkau, jadikanlah al-quran sebagai penenang hatiku, cahaya bagi dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.



اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أ َمَتِكَ،
Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambu-Mu, anak hamba-Mu, anak hamba perempuan-Mu,



Kemuliaan seseorang bergantung kepada sejauh mana tahap penghambaanya terhadap Allah. Menjadi hamba Allah adalah satu kemuliaan, bukan kehinaan. Allah mengiktiraf baginda Nabi SAW sebagai hamba. Dalam surah al-isra’ ayat 1 Allah berfirman:


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.



Nabi Isa adalah hamba Allah. Baginda mengiktiraf bahawa baginda ialah hamba Allah. Fiman Allah di dalam surah Maryam ayat 30:


قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آَتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا
Berkata Isa: "Sesungguhnya Aku Ini hamba Allah, dia memberiku Al Kitab (Injil) dan dia menjadikan Aku seorang nabi,

Nabi SAW beribadat kepada Allah sehingga bengkak kaki baginda. Apabila ditanya kenapa baginda berbuat demikian jawab baginda:

أفلا أكون عبدا شكورا
Tidakkah aku ingin menjadi hamba yang bersyukur.


Perkataan عبد bererti seorang hamba lelaki, hamba perempuan di dalam Bahasa Arab ialah أمة Firman Allah( al-baqarah 221):


وَلَا تَنْكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّى يُؤْمِنَّ وَلَأَمَةٌ مُؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِنْ مُشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ وَلَا تُنْكِحُوا الْمُشْرِكِينَ حَتَّى يُؤْمِنُوا وَلَعَبْدٌ مُؤْمِنٌ خَيْرٌ مِنْ مُشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ أُولَئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ وَيُبَيِّنُ آَيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita hamba yang mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba yang mukmin lebih baik dari orang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya. dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.


Persoalan.

Bagaimana jika seorang perempuan berdoa dengan doa ini? Adakah perlu diubah lafaz bersesuaian dengan jantinanya dengan berdoa:اللهم إني أمتك, ابنت عبدك,ابنت أمتك... As- Syeikh Ibn Baz ditanya dengan soalan ini dan beliau menjawab jika perempuan maka ia boleh berdoa dengan lafaz sighah yang bersesuaian dengan dirinya (اللهم إني أمتك)



نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ،
ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, qadha-Mu kepadaku adalah adil,


Tiada daya dan usaha kita melainkan dengan kekuasaan Allah. Segala yang berlaku dan terjadi yang menimpa ke atas kita adalah dalam qudrat dan iradah Allah. Allah maha kaya, maha adil, maha bijaksana. Allah tidak zalim dan tidak sekali-kali akan mengzalimi hamba-Nya. Di dalam ayat 56 surah Hud Allah berfirman:


إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ رَبِّي وَرَبِّكُمْ مَا مِنْ دَابَّةٍ إِلَّا هُوَ آَخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا إِنَّ رَبِّي عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Sesungguhnya Aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. tidak ada suatu binatang melatapun melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya(menguasai sepenuhnya). Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus(selalu berbuat adil)"



أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ
aku mohon pada-Mu dengan setiap nama baik yang engkau gunakan untuk diri-Mu, yang engkau namakan diri-Mu sendiri, atau yang engkau turunkan di dalam kitab engkau. atau engkau ajarkan kepada seseorang daripada hamba-Mu, atau engkau sembunyikan di dalam ilmu ghaib disisi engkau,



Allah mempunyai nama-nama yang indah dan baik. Firman Allah (surah al-a’raf 180)

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Hanya milik Allah asmaa-ul husna, Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya, nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.

Ayat 110 surah al-isra’:

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا
Katakanlah: "Serulah Allah atau Serulah Ar-Rahman. dengan nama yang mana saja kamu seru, dia mempunyai Al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam shalatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu".




Bilangan nama Allah yang diberitahu oleh Nabi SAW sebanyak 99 nama. Itu yang diberitahu oleh Nabi SAW. Hanya Allah yang maha agung sahaja yang mengetahui bilangan sebenar nama-nama-Nya yang selayak bagi-Nya. Dalilnya "أو استأثرت به في علم الغيب عندك"





أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ
jadikanlah al-quran sebagai penenang hatiku, cahaya bagi dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.



Al-Quran ialah panduan hidup setiap mukmin. Sesiapa yang berpegang dengan ajarannya akan berjaya dan sesiapa yang berpaling daripadanya akan celaka. Beruntunglah orang yang hidupnya dipayungi dengan payungan Al-Quran. Dia mendapat nikmat yang maha besar. Nikmat yang tidak dapat diucap dengan kalimah kecuali dengan mengecapi sendiri.


يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
Hai manusia, Sesungguhnya Telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.(yunus 57)


وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Dan kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.(al-isra’ 82)


Di dalam Musnad Ahmad:

عن عبد الله قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:-ما أصاب أحد قط هم ولا حزن فقال اللهم إني عبدك ابن عبدك ابن أمتك ناصيتي بيدك ماض في حكمك عدل في قضاؤك أسألك بكل اسم هو لك سميت به نفسك أو علمته أحد من خلقك أو أنزلته في كتابك أو استأثرت به في علم الغيب عندك أن تجعل القرآن ربيع قلبي ونور صدري وجلاء حزني وذهاب همي إلا أذهب الله همه وحزنه وأبدله مكانه فرجا قال: فقيل: يا رسول الله ألا نتعلمها فقال: بلى ينبغي لمن سمعها أن يتعلمها.

Daripada Abdillah katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah seseorang yang ditimpa dukacita dan keluh kesah lalu ia membaca اللهم إني عبدك... sehingga akhir melainkan Allah akan menghilangkan duka laranya dan Allah gantikan tempatnya kegembiraan.Katanya: Dikatakan kepada Rasulillah, “Wahai Rasulallah, bolehkah kami mempelajari doa ini?” maka jawab Nabi SAW: “Bahkan ya, sayugia sesiapa yang mendengar doa ini bahawa ia mempelajarinya.”




Doa ini juga dinukilkan oleh Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziah dalam kitabnya “al-fawaid”. Mari sama-sama kita berdoa dengan doa ini mudah-mudahan Allah hilangkan perasaan serabut dalam kehidupan kita. Amin.

Sumber : http://anaktokimam.blogspot.com/

Tuesday, May 19, 2009

SEMINAR WANITA UNGGUL DI SAMPING RASULULLAH
TARIKH : 23 MEI 2009
TEMPAT : DEWAN KG. MASJID KENINGAU
PEMBENTANG KERTAS KERJA
USTAZAH SERI WAHYUNI BANURI ( PEGAWAI AGAMA PETRONAS KOTA KINABALU )
USTAZAH KHADIJATUL AKMAR SHOIB
(SMKA KOTA KINABALU )

Friday, May 1, 2009

SUARA MASJID AR-RAHIM PEKAN KENINGAU
EDISI KEEMPAT 04/2009 DITERBITKAN OLEH SYUKBAH AGAMA & DAKWAH
masjidpekankeningau.blogspot.com / masjidarrahim@gmail.com
Oleh: Ustaz Hj. Mohd Rusli bin Ismail(http://anaktokimam.blogspot.com/)

1. Doa sebelum tidur.
اللهم قني عذابك يوم تجمع أو تبعث عبادك
Ya Allah, lindungilah aku daripada azab-Mu, pada hari engkau menghimpun dan membangkitkan hamba-mu.
Dalil:
عن ربعي بن حراش عن حذيفة ابن اليمان "أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا أراد أن ينام وضع يده تحت رأسه ثم قال: اللهم قني عذابك يوم تجمع أو تبعث عبادك". هذا حديثٌ حسنٌ صحيحٌ.
Bahawa Nabi SAW. Apabila baginda mahu tidur baginda meletakkan tangannya di bawah kepalanya kemudian berkata: “ Ya Allah, lindungilah aku daripada azab-Mu, pada hari engkau menghimpun dan membangkitkan hamba-mu.
باسمك اللهم أموت وأحيا

Dengan menyebut nama Engkau Ya Allah, aku mati dan aku hidup
2. Doa bangkit daripada tidur:
الحمد الله الذي أحيانا بعد ما أماتنا وإليه النشور

Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami
setelah mematikan kami dan kepada-Nya hari kebangkitan
Dalil:
عن حذيفة قال:كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا أراد أن ينام قال: (باسمك اللهم أموت وأحيا). وإذا استيقظ من منامه قال: (الحمد الله الذي أحيانا بعد ما أماتنا وإليه النشور).
Daripada Huzaifah katanya: “Bahawa Nabi SAW. Apabila baginda hendak tidur baginda berkata: (Dengan menyebut nama Engkau Ya Allah, aku mati dan aku hidup). Dan apabila baginda bangkit daripada tidur baginda berkata:(Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nya hari kebangkitan.)

Sebab-sebab mudah untuk bangun qiamullail
1. Sebab-sebab zahir :
* Tidak makan terlalu banyak. Banyak makan akan mendorong kita tidur banyak dan menyebabkan kita merasa malas untuk qiamullail.
* Tidak melakukan kerja-kerja yang terlalu membebebankan pada siang hari.
* Tidak meninggalkan tidur qailullah (tidur sekejap sebelun atau sesudah zohor) pada siang hari kerana ia menolong untuk bangkit pada malam hari.

2. Antara sebab-sebab batin pula ialah:
* Menjauhkan diri daripada melakukan dosa. Al-Thauri berkata: "Aku dihalang untuk qiamullail selama lima bulan kerana satu dosa yang aku lakukan".
* Bersih hati daripada prasangka dan perasaan tidak baik kepada orang Islam.
* Menjauhkan diri daripada amalan bidaah.(perkara yang direka-reka dalam amalam agama)
* Berpaling daripada kemewahan dunia.(tidak tertipu dengan dunia).
* Mengetahui kelebihan qiamullail.




Petua untuk mudah bangun tidur.

Amalan ini saya tidak jumpai dalam hadis nabi. Saya ambil daripada ustaz-ustaz. Boleh diamalkan kerana ianya merupakan bacaan daripada ayat Al-Quran. Amalan tersebut ialah membaca empat ayat terakhir daripada surah al-Kahfi sebelum melelapkan mata:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا ﴿١٠٧﴾ خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا ﴿١٠٨﴾ قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا ﴿١٠٩﴾ قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا ﴿١١٠﴾
107. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka adalah surga Firdaus menjadi tempat tinggal,
108. Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah dari padanya.
109. Katakanlah: sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)".
110. Katakanlah: Sesungguhnya Aku Ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa Sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya". SURAH AL-KAHFI AYAT 107 -110)
Sumber:
1- Sahih Bukhari, 2. Jami’ Tirmizi
3. Ihya ulumuddin karangan Al-Imam Al-Ghazali
4. http://anaktokimam.blogspot.com/
DOA SEORANG ISTERI MUSLIMAH

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kau ampunilah dosa Ku yg telah Ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yg tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental Dan fizikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insanYa Allah
Sekiranya suami Ku ini adalah pilihan Mu diArash
Berilah aku kekuatan Dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suami Ku ini adalah suami yg akan membimbing tanganku dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih Dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami Ku ini adalah bidadara untuk Ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk Dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya suami Ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami Ku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah Dan ragamnya
Tetapi Ya Allah..
Sekiranya suami Ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang
Kau tunjukkanlan aku jalan yg terbaik untuk aku harungi segala dugaan MuSekiranya suami Ku tergoda dengan keindahan dunia Mu..
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. .
Sekiranya suami Ku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan..
Kurniakanlah aku kekuatan Mu untuk aku memperbetulkan keadaanya
Sekiranya suami Ku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena
Ya Allah..
Kau yang Maha Megetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan Dan ketelanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan..
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri..
Kau hukumlah aku diduniamu tetapi bukan diakhirat Mu
Sekiranya aku engkar Dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmat Mu
Ya Allah …sesungguhnya. . Aku
lemah tanpa petunjukMu..
Aku buta tanpa bimbinganMu. .
Aku cacat tanpa hidayahMu..
Aku hina tanpa RahmatMu..
Ya Allah
Kuatkan hati Dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri Solehah
Hanya padaMu Ya Allah Ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu
Kerana aku sedar akan hinanya aku
Kerana aku insan lemah yg kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu
Kerana kurang kesabaran Ku menghadapi cabaranMu
Kerana pendek akal Ku mengharungi ujianMu
Ya Allah Ya Tuhanku…
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa dihati suami
Amin, amin Ya Rabbal Allamin..

STICKER KERETA


Stiker kereta untuk kenang-kenangan sempena sambutan ulangtahun ke 39 ( 3 Mei 1970 - 3 Mei 2009 ) Masjid Ar Rahim Pekan Keningau. Terdapat dalam 3 warna ( Hijau, Biru , Merah ) Harga RM 2.00 . Sila dapatkan dari Ust. Mohd Suhaimi Pengerusi Syukbah Agama Dakwah ( 019 8617306 ) Jualan dibuka selepas solat Jumaat 1 Mei 2009 sehingga Stok Habis.