Saturday, July 14, 2012

Khasiat Madu Mengikut Al-Quran



Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah karena dalam al-Quran sendiri telah menggariskan berbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada berbagai penyakit, maupun kesehatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.
Firman Allah dalam surah an-Nahl:
“Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.” (Surah An-NAhl: 69)
Rasulullaah SAW, bersabda :
“Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur’an.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dari hadis tersebut ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesehatan, yang mempunyai zat-zat besi dan vitamin yang kuat. Di samping itu madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.
Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika diamalkan setiap hari akan mencegah daripada berbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup.
Dalam al-Qur’an, hadis-hadis yang disebutkan dan amalan perubatan tradisional, madu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Adalah menjadi suatu amalan yang baik menjadikan madu sebagai obat dan penjaga kesehatan.

Sumber: http://azzahracomunity.blogspot.com/

Fadhilat Wudhu’

 


Assalamualaikum wbt..
Wudhu’?? Rasanya ramai antara kita yang memang sudah mahir dan pakar dalam bab ni memandangkan kita memang sudah di ajar dari kecil mengenai perkara ini. Tetapi suka untuk dikongsi bersama sebagai satu peringatan. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi kita pelajar oversea untuk ke kelas dalam keadaan berwudhu supaya jimat masa dan senang untuk solat terutamanya bila waktu solat sangat singkat. Tidaklah salah untuk mengekalkan wudhu yang masih ada tetapi alangkah elok kalau kita membiasakan diri untuk berwudhu setiap kali hendak solat walaupun belum batal kerana itu adalah yang tebaik. Mungkin ada pengecualian pada tempat-tempat tertentu yang susah untuk berwudhu ataupun sewaktu kita sedang bermusafir. Lagi satu, mungkin juga kita cenderung untuk memelihara wudhu disebabkan keadaan sekarang yang sangat sejuk dan nak sentuh air untuk berwudhu pun macam agak susah. Dan saya teringat kata-kata seorang kawan, dia kata kita sepatutnya bersyukur kerana kita telah diberi kelebihan oleh Allah untuk hidup di bumi Ireland yang sejuk ni. Mungkin dengan usaha kita yang ikhlas untuk berwudhu dan usaha utntuk melawan perasaan malas itu mendapat ganjaran yang besar di sisiNya, insyaAllah.

Saya pernah dengar bahawa setiap kali kita berwudhu akan gugur dosa-dosa kecil. Jadi, sama-samalah kita fikirkan. Tidakkah kita mahu dosa kita di hapuskan dengan hanya mengambil wudhu yang sempurna. Sesungguhnya wudhu yang sempurna bukan hanya menjamin solat diterima tetapi juga boleh menghapuskan doa-dosa selagi tidak melakukan syirik.
Rasulullah saw bersabda :
“Dari Abu Hurairah berkata: telah bersabda Rasulullah saw: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya bersama air atau titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Selain daripada itu, antara fadhilat lain wuduk ialah mengangkat darjat manusia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
“Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda saw pun bersabda: Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya).” (Hadis riwayat Muslim)
Seterusnya, wudhu dapat memberi cahaya di akhirat.
“Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajah-wajah, tangan-tangan & kaki-kaki mereka kerana bekas wudhu.” (Riwayat Bukhori dan Muslim)
Pernahkah kita dengar bahawa wudhu dapat membuka ikatan syaitan? Ya, Rasulullah ada bersabda bahawa ikatan syaitan pada manusia akan terlerai dengan wudhu.
“Dari Abu Hurairah, beliau meriwayatkan dari Rasulullah saw, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah saw memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda saw: Sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Subhanallah, betapa besar dan istimewanya ganjaran berwudhu. Tak susahkan?? Sesungguhnya islam itu sangat mudah. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua dan diri sendiri juga untuk rajin-rajinkalah diri kita untuk berwudhu. Basahkanlah anggota badan kita dengan wudhu. InsyaAllah segala usaha kita untuk berwudhu dan menyucikan diri mendapat ganjaran yg besar daripada Allah.
Firman Allah:
“…Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih (Al-baqarah : 222)
Sekadar ini sahaja perkongsian untuk kali ini. Semoga kita dapat mengamalkannya.

Sumber: http://www.ataphijau.com/

Melihat Allah Di Syurga Pada Hari Kiamat

 


Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Setiap yang berbuat dosa pasti akan dibalas siksaan neraka. Setiap yang berbuat baik dan taat pada Allah pasti akan dimasukkan ke dalam syurga. Di sini aku ingin berkongsi sebuah kisah yang amat membuatkan hati aku bergetar hingga menitis air mata kerana menginginkan kenikmatan ini. Ya, siapa yang tidak mahu melihat Allah, tuhan yang telah mencipta Adam dari tanah, jin dari api dan malaikat dari cahaya, tuhan yang berdiri dengan sendirinya.
Dari Abu Hurairah R.A, para manusia bertanya kepada Rasulullah S.A.W,
“Ya Rasulullah, apakah kita semua dapat melihat Allah pada hari kiamat nanti?” Nabi menjawab, “Apakah kamu ragu-ragu dapat melihat bulan pada waktu purnama, melihat matahari apabila tidak dilindungi awan?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kamu semua akan melihat Allah sebagaimana kamu jelas melihat bulan purnama dan matahari yang tidak dilindungi awan”.
Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril,
“Hai Jibril pernahkah kamu melihat Allah?” Jawab Jibril, “Bahawa di antara aku dan Allah ada 79 hijab yang terdiri dari lapisan-lapisan cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, maka akan terbakarlah aku memandangNya. Sedangkan antara engkau dan Allah ada 71 lapisan hijab dari cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, engkau akan terbakar pula memandangnya.”
Dari sini kita dapat lihat amat mustahil untuk melihat wajah Allah di dunia ini. Nabi Musa A.S pernah meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang kuat lagi kukuh akan hancur bila Allah menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.
Diriwayatkan setelah para penghuni syurga selesai menikmati susana paling indah dan berbeza pada hari pertama di syurga, lalu mereka dipakaikan dengan pakaian yg serba indah yang dihadiahkan oleh Allah. Setelah itu Allah memerintahkan malaikat Jibril menghantar bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Kemudian muncul pula burung ajaib yang rupanya terlalu cantik terbang di udara taman syurga.
Burung ajaib itu mengembangkan sayapnya maka terperciklah bau-bauan harum semerbak merenjis pada tubuh dan pakaian ahli syurga. Maka bertambah harum dan nyaman susana waktu itu. Tercengang para penghuni syurga melihat keajaiban yang berlaku. Ia sebagai balasan kepada janji Allah untuk orang yang beriman.
Seketika kemudian terdengar satu suara yang paling ganjil dan menakjubkan memenuhi ruang taman syurga yang luas. Suara itu merupakan kalimah dari Allah S.W.T sendiri yang pertama kali didengar oleh manusia. Firman Allah,
“Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaKu? Mintalah kepada Aku dan Aku akan memenuhi kehendak kamu semuanya”.
Semua penghuni syurga ketika itu tergamam, terdiam, tercengang dan terperanjat apabila mendengar kalimah dari Allah. Ia suatu nikmat yang paling berharga. Kemudian seluruh manusia yang memenuhi ruang taman syurga itu berkata,
“Wahai tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah sempurnakan janjiMu tentang kenikmatan yang akan Engkau anugerahkan ke atas hamba-hambaMu yang mengsyukuri setiap nikmat di dunia dahulu. Demikian pun wahai tuhan kami, izinkanlah kami untuk melihat wajahMu di hari akhirat yang telah Engkau janjikan ini”.
Seketika kemudian secara tiba-tiba, muncullah sebuah mimbar yang amat ajaib di taman syurga. Lalu muncul malaikat Jibril membimbing tangan Nabi Musa naik ke atas mimbar yang indah itu untuk membacakan kitab Taurat supaya dapat dihayati oleh seluruh umat manusia di dalam syurga. Selesai membaca kitab Taurat dengan bacaan yang lembut itu, maka Jibril menjemput pula Nabi Isa memperdengarkan bacaan kitab Injil yang pernah diturunkan Allah kepada beliau.
Kemudian Jibril mempersilakan Nabi Daud membacakan kitab suci Zabur dan beliau membaca dengan suara yang enak sekali didengar. Selesai kitab Zabur dibacakan, Jibril akhirnya menjemput junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ke atas mimbar untuk membacakan kitab suci Al-Quran. Rasulullah membaca dengan suara yang paling merdu dan lembut serta tak pernah didengari oleh sesiapa pun sewaktu di dunia dahulu sehinggakan semua penghuni syurga terpegun.
Setelah selesai pembacaan keempat-empat kitab suci yang pernah diturunkan kepada umat manusia di dunia dahulu, maka terangkatlah suatu hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama sejenis bauan yang sangat harum dan menakjubkan. Sekalian manusia di syurga berasa terkejut melihat suatu kejadian paling ajaib yang tak pernah terfikir oleh akal.
Kemudian terbuka lagi sebuah hijab yang lebih besar iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk melihat wajah Allah S.W.T. Di sinilah saat paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di sinilah tempat pertemuan yang sebenarnya antara manusia dengan Allah. Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia dan seluruh manusia menyambut salam dengan rasa nikmat dan syukur tak terperi.
Berkatalah seluruh manusia kepada Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, yang Maha Pengasih dan Penyayang,
“Wahai tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini”.
Allah lalu berfirman,
“Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu semua rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat mulia untuk kamu merasa kesenangan nikmat yang berkekalan. Walaupun begitu, demi keagunganKu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepadaKu pada hari ini”.
Dari Shuhaib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah berfirman, “Apakah kalian ingin tambahan sesuatu dariKu?” Kata mereka, “Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?” Lalu Allah membuka hijabNya, maka tidak ada pemberian yang paling mereka cintai melainkan melihat wajah Allah Azza wa Jalla. Kemudian Rasulullah S.A.W membaca ayat ini, “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” [Yunus: 26]
Melihat Allah S.W.T merupakan kenikmatan yang paling dicintai bagi penghuni syurga. Selain itu, keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah.

Sumber: http://www.syahirul.com/

Jalan-Jalan Ke Syurga

 


Pada setiap pagi Jumaat, sebelum menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di sebuah kota dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu pagi Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun dengan lebatnya.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya sudah bersedia”
Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa wahai anakku?”.
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi dulu wahai ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”
“Terima kasih Ayah”sambil memeluk dan mencium pipi ayahnya.
Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan waktu itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya itu.
Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun dia gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah tersebut. Apabila sampai sahaja di rumah itu, lantas memberi salam dan ditekannya loceng rumah tersebut. Dia tunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.
Diketuk pula pintu lalu memberi salam, namun sekali lagi tiada jawapan. Bagai ada sesuatu yang memegang tubuhnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi.
Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang lelaki dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang pakcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan pakcik adalah orang yang paling bertuah”.
Dia senyum dan tunduk wajahnya sebagai tanda hormat sebelum melangkah pergi.
“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu wahai anak” dalam nada yang lembut.
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu.”
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah lelaki separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ilmu ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan semua, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Isteri saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini.”
Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila sampai masa saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi terdengar panggilan salam yang amat merdu dari suara anak kecil. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi beserta dengan salam. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada sesiapa pun yang menekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak kecil yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik” itulah kata-kata yang paling indah yang pernah saya dengar”.
“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan yang amat lebat. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asalnya. Saya tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang muslim yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang taat pada yang satu DIA adalah ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan tersesat berada selama-lamanya di dalam neraka”
Tiada satu pun anak mata di masjid waktu itu dalam keadaan kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini adalah Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.
Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang.

7 Golongan Yang Mendapat Naungan Di Akhirat


Pada hari pertama pengadilan di padang mahsyar, seluruh manusia berhimpun semenjak manusia pertama iaitu Nabi Adam sehinggalah manusia terakhir. Keadaan manusia pada hari itu sesuai dengan amalannya semasa di dunia dahulu. Rasulullah SAW menggambarkan ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat pertolongan dan naungan pada hari itu, menerusi sabda beliau yang maksudnya:
“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu sesuai dengan hadith di atas, iaitu:
  1. Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat.
  2. Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.
  3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sesungguhnya terdapat hadis menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan dikategorikan sebagai satu sedekah.
  4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
  5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” Ini menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina.
  6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk supaya mendapat pujian atau sanjungan dari orang ramai.
  7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan.

Wallahua’lam.
Sumber: Buku Malam Pertama Di Syurga – Adil Akhyar, SH, LL.M
Sumber: http://www.ataphijau.com/
Ramadhan Semakin Menghampiri, Tapi Kita Masih Tidak Peduli



by: Hilal Asyrafhttp://www.langitilahi.com/
Ramadhan semakin menghampiri.
Apakah ada antara kita yang mendengar ‘loceng-loceng’ yang menyatakannya?
Ramadhan semakin menghampiri, semakin mendekat, tetapi apakah persediaan kita? Ramai antara kita tidak peduli. Seakan-akan Ramadhan itu bukan sesuatu yang penting buat kita. Mengapa?

Kerana kita telah di’doktrin’ oleh suasana yang silap dalam melayani Ramadhan Yang Mulia.

Ramadhan Sebagai Bulan Susah Payah.
Didoktrin di dalam kehidupan kita, bahawa Ramadhan adalah bulan bersusah payah. Bulan kepenatan dan keletihan. Bulan di mana manusia perlu berlapar dan dahaga seakan tidak wujudnya makanan. Bulan yang dilihat sebagai tidak produktif, bulan yang melemahkan dan tidak punya apa-apa keistimewaan dari segi material.
Kita melalui Ramadhan, hanya dengan satu pancaran harapan – Lepas Ramadhan, akan datang Syawal.
Ya. Dengan itulah kita melalui Ramadhan. Menunggu untuk ‘dibebaskan’ dari segala keletihan dan kepenatan.
Jika perasan, kita didoktrin sedemikian.
Kerana itu, kehadiran Ramadhan bukan satu keistimewaan buat kebanyakan kita. Bukan sesuatu yang dinanti-nantikan buat kita. Tetapi adalah satu bebanan. Satu kesukaran. Satu kepayahan buat kita.

Sedangkan Itulah Bulan Yang Dirayakan.
Ramai yang tidak tahu, bahawa apa yang kita namakan sebagai ‘AidulFitri’ itu hakikatnya dirayakan sehari sahaja, yakni pada 1hb Syawal. Dan tidaklah pula ianya dirayakan pada 2hb Syawal, 3hb Syawal dan sehingga 30hb Syawal. Tidak. Hakikatnya, hari raya itu sehari sahaja. 2hb Syawal dan seterusnya, kita telah disunatkan untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.
Syawal hakikatnya bukan hari raya utama ummat Islam. Yang utamanya adalah ‘AidulAdha’, kerana ia dirayakan selama empat hari. 10hb, 11hb, 12hb, dan 13hb Zulhijjah. Haram berpuasa pada keempat-empat hari tersebut.
Ya. Sehari sahaja ‘AidulFitri’ hakikatnya. Namun masyarakat kita sakan merayakannya hingga ke hari 30hb Syawal. Bagai nak runtuh dunia kita rayakannya. Sedangkan, apakah itu ‘AidilFitri’? Maksudnya adalah Perayaan Fitrah. Mengapa dinamakan sedemikian?
Kerana ia adalah untuk merayakan mereka yang berjaya melalui tarbiyah, memproses diri di dalam Ramadhan Al-Mubarak. Yang membersihkan diri dan mensucikan diri mereka di dalam bulan itu. Yang mempertingkatkan diri serta menaikkan lagi kualiti hati mereka di dalam bulan itu.
Bukan kepada mereka yang pada 15hb Ramadhan, sudah sibuk hendak menyambut Syawal!
Yang diraikan hakikatnya adalah Ramadhan. AidulFitri meraikan itu. Kita hakikatnya bukan meraikan AidilFitri. Kerana AidilFitri itu hakikatnya tidak punya apa-apa, melainkan sekiranya kita melalui Ramadhan dengan jayanya!

Mentaliti Yang Perlu Diubah.
Maka Ramadhan itu perlu kita tekankan pada diri dan keluarga, bahawa ianya adalah Bulan Rahmat, Bulan Keampunan, Bulan Peningkatan diri. Bulan di dalamnya wujud pelbagai fadhilat dan kelebihan. Bulan yang Allah SWT sediakan agar ummat Islam kembali mengecas keimanan masing-masing, memperkuatkan diri masing-masing.
Bulan yang hakikatnya merupakan ‘perayaan jiwa-jiwa’ kerana ianya memberikan makanan kepada mereka. Bulan untuk memperbanyakkan kebaikan, agar jiwa yang jauh menjadi kembali rapat kepada Tuhan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(menghitung nak memperbanyakkan amalannya), maka akan diampunkan untuknya dosa-dosanya yang pernah dilakukan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ya. Ramadhan inilah hakikatnya yang patut kita nampak sebagai ‘habuan’, ‘hadiah’, ‘anugerah’. Allah SWT memberikannya kepada kita. Dalam setahun, Allah SWT berikan kita sebulan untuk mempertingkatkan diri kita, memperkuatkan diri kita, dalam suasana yang kondusif, bersama ‘tambahan-tambahan’ yang mengiurkan.
Penutup: Maka Apakah Jiwa-jiwa Masih Tidak Mahu Memperdulikan?
Maka apakah jiwa-jiwa yang do’if lagi lemah, banyak kekurangan dan dosa ini, masih tidak mahu memperdulikan panggilan Tuhannya?
Apakah hamba yang hina ini, mahu melemparkan hadiah pemberian Tuhannya?
Sesungguhnya inilah dia hamba-hamba yang celaka.
Marilah kita muhasabah semula.
Jangan jadi hamba yang sombong dengan Dia.
Ramadhan menghampiri, dan kita masih tidak peduli.
Jangan.
Mari peduli. Persiapkan diri. Jadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna sekali!

Friday, June 15, 2012




MAKLUMAN :
PADA 17 JUN 2012 (AHAD)
(SELEPAS SOLAT MAGHRIB), AKAN DIADAKAN
CERAMAH PERDANA BERTAJUK :  “ISRAK DAN MIKRAJ”  (AKAN DISAMPAIKAN OLEH AL-FADHIL USTAZ AZRUL(PLDK KENINGAU)

SEMUA AHLI JEMAAH MASJID PEKAN DIJEMPUT HADIR…..

P/S : JAMUAN DISEDIAKAN

ANJURAN : SYUKBAH AGAMA & DAKWAH, MASJID AR-RAHIM