Allah Tidak Jauh. Doa Sentiasa Mustajab.
ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya
adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba
memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah
tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang
perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.
Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk
sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap
perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira
siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.
Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!
Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)
Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru
selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari
kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak
dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan
(untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu
menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah
mereka - (surah al- Ahqaf: 5-6)
Firman Allah: (maksudnya)
Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan
memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan
peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk
suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah
Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang
kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan
kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan
pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan
syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu
(Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan
Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya - (surah Fatir: 13-14).
Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara
terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau
wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.
Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:
“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w:
“Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya:
Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang
hanya Allah kehendaki. - (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).
Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru
tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri
mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan
yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau
penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan
pengikut pun seakan berada di tangan mereka.
Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh
agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja
tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat
dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan
dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka
membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila
saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat
Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.
Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ.
Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang
didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan
lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya
tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada
petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.
Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat.
Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan,
akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat
daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik.
Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala
unsur kebodohan tidak bertebing itu.
Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah
orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan
perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja.
Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan
tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh
al-Quran sekeras-kerasnya.
Firman Allah: (maksudnya)
Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari
segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari
Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka
(tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah
sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka
tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta
(mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan
syirik) - (al-Zumar:3).
Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa,
Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan
yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa
hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai
Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa
hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa
apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku
(dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku
supaya mereka mendapat petunjuk - (surah al-Baqarah: 186).
Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan
memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada
pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih
dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan
apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa
sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang
dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba,
bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.
Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana
baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta,
perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari
demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa
adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah
(maksudnya):
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku
nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang
yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk
neraka jahanam dalam keadaan hina - (surah Ghafir: 60).
Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada
Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada
zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri,
namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada
Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi
menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al-
Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah,
bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.
Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak
diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan
itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui.
Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita
berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui
jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan
yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih
dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang
inginkan orang lain. Segalanya mungkin.
Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:
Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa
yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah
akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada
disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat,
ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. - (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).
Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang
tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu
disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan
yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan
kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai
bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.
Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita
diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara
tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam
perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam
perkara yang tidak diduga.
Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan
disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita.
Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh
sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun
demikian.
Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya
tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih
sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha
Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti
rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada
hikmah-Nya.
Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan.
Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka
tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu
saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami
maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.
Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan
pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam
dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu
menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam
tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan
Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun
seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid
selepasnya.
Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca
tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda
Nabi:
Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. - (Riwayat Muslim).
Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:
Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. - (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).
Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa
kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali
kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita.
Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal,
hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat
orang berdoa bersendirian.
Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau
mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa
dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang
sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika
seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan
pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang
Maha Agung?
Benarlah sabda Rasulullah:
Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu
yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima
doa dari hati yang lalai dan alpa. - (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.
Sumber: http://www.drmaza.com/